Duduk dan tulis semua keperluan dan keinginan anda. Tulis seberapa banyak keperluan-keperluan serta keinginan-keinginan atau cita-cita anda. Tuliskan apa saja keperluan dan keinginan yang terlintas di fikiran anda. Apabila jumlahnya menjangkau 50 hingga 100, akan timbul suatu bentuk perasaan, pemikiran atau semangat pada diri anda. Ya, anda akan mengetahui perasaan sebenar anda itu apabila anda melepasi angka 50. Teruskan. Perasaan inilah yang akan membarai semangat anda terus melangkah ke hadapan untuk mencapai matlamat-matlamat anda secepat yang mungkin. Insya-Allah.
2. Tetapkan dan Tuliskan Matlamat-Matlamat Anda
TULIS matlamat-matlamat atau cita-cita anda di atas sehelai kertas. Ini amat penting kerana jika anda tidak tulis, cita-cita anda hanya akan menjadi angan-angan. Dengan berbuat demikian, cita-cita anda itu akan menjadi perkara yang amat penting dan berharga bagi anda. Dengan menjadikannya suatu dokumen dan diberi perhatian, ia akan mula meresap ke dalam minda separa sedar anda. Hasilnya, matlamat-matlamat anda itu akan menjadi sebahagian yang signifikan dalam hidup anda dan anda tidak akan berpuas hati selagi matlamat tersebut belum anda capai.
3. Tetapkan Tempoh dan Bila Anda Ingin Mencapai Matlamat / Cita-Cita Anda
Kira dan tentukan berapa banyak masa yang anda perlukan untuk mencapai matlamat-matlamat anda itu. TETAPKAN bila matlamat tersebut mesti anda capai. Tetapkan tempoh anda membuat persiapan rapi untuk mencapai malamat-malamat anda. Tetapkan juga tempoh yang anda perlukan untuk melaksanakan setiap aktiviti dalam perancangan atau pelan tindakan anda.
4. Buat Perancangan
RANCANGKAN tindakan-tindakan atau aktiviti-aktiviti yang mesti anda laksanakan untuk mencapai matlamat-matlamat anda. Jadualkan aktiviti-aktiviti atau langkah-langkah tindakan anda mengikut susunan dan keutamaan agar setiap langkah anda menyokong antara satu sama lain. Nilai semula dan buat pembaikan pada senarai jadual aktiviti anda dari semasa ke semasa dengan tujuan untuk memastikan matlamat anda tercapai mengikut seperti yang dirancang.
5. Gambarkan Kejayaan Pada Minda Anda
Letakkan suatu Studio Filem di minda anda! Bayangkan satu GAMBARAN MENTAL yang anda telah berjaya mencapainya. Buat imej minda yang jelas pada mata minda anda tentang kejayaan anda. Mainkan gambaran itu berulang-ulang – berkali-kali di fikiran anda. Lihat kejayaan dan keadaan anda yang hebat dalam "kejayaan" itu.
Gambaran "kejayaan" dalam minda anda itu akan membuatkan motivasi anda sentiasa di tahap teratas. Dengan semangat berkobar-kobar itu anda akan lebih fokus, lebih komited serta lebih bertekad untuk mencapai matlamat yang telah anda tetapkan.
6. Tangani Halangan
Dalam melaksanakan perancangan kita, ada kalanya kita tidak lepas daripada menghadapi beberapa halangan. Halangan-halangan itu mungkin disebabkan oleh kita sendiri atau oleh orang lain atau disebabkan oleh masalah logistik.