Mungkin bagi yang berkemampuan, semua perkara ini tidak menjadi masalah. Namun, bagi wanita yang berhasrat dan mempunyai tujuan sama, mereka masih mampu memelihara kulit hanya dengan menggunakan bahan semula jadi dari dapur.
Ia bukan saja murah, malah 100 peratus semula jadi tanpa bahan kimia yang lain. Yang penting wanita perlu rajin mengamalkannya serta menjadikannya rutin harian bagi mendapatkan kesan maksimum. Tidak percaya, cuba lakukan dalam masa sebulan dan lihat hasilnya.
TELUR mengandungi banyak khasiat untuk kulit.
Wajah
• Sejak dulu telur diakui mempunyai pelbagai khasiat sama ada untuk kulit kering atau berminyak. Untuk kulit kering, gunakan kuning telur sebagai masker. Sapu setiap pagi dan biarkan 15 minit sebelum dicuci dengan air. Bagi mereka yang memiliki kulit berminyak, ambil putih telur dicampur perahan limau atau madu. Biarkan 30 minit, lalu bilas.
• Pisang berfungsi sebagai pelembap semula jadi kulit. Caranya, hancurkan pisang kemudian sapu pada wajah dan leher. Biarkan selama 10 hingga 20 minit, lalu bersihkan dengan air. Untuk kesan maksimum, boleh mencampurkan pisang dengan suku cawan dadih dan dua sudu madu.
Kulit pisang juga bermanfaat yang bertindak sebagai antivirus. Boleh disapukan kulit pisang (sebelah dalam) ke muka sebagai krim kecantikan bagi menghilangkan parut.
• Bijirin boleh dijadikan bahan pelembap kulit. Caranya, campurkan setengah gelas air panas (bukan mendidih) dan satu pertiga gelas bijirin. Biarkan selama tiga minit lalu campurkan dua sudu makan dadih, dua sudu madu dan sebiji putih telur. Sapu pada muka dan biarkan kering selama 10 hingga 15 minit. Bersihkan dengan air suam.
• Mayonis membantu menjadikan kulit lembut dan halus. Caranya, sapu mayonis dan biarkan selama 20 minit. Bersihkan dengan air sejuk dan lakukan setiap hari. Anda dapat rasakan wajah lebih bersih dan lembut.
Rambut
• Minyak kelapa bahan penyembuhan paling berkesan untuk rambut dan kulit kepala. Mentega yang terhasil daripada minyak kelapa menggalakkan pertumbuhan rambut dan menjadi ubat sapu untuk masalah kulit seperti ekzema dan kelemumur.
Caranya, campurkan dua sudu minyak kelapa, setengah cawan lobak merah diparut, lima titik minyak chamomile, lima titik minyak bunga melati, secubit rosemary dan garam laut halus. Lumurkan pada rambut sehingga ke kulit kepala. Bilas selepas 20 minit.
• Santan sangat berkesan mengurangkan kelemumur sekali gus menjadikan rambut sihat bersinar. Caranya, ambil santan pekat kemudian lumur ke kepala, urut perlahan supaya santan meresap ke seluruh bahagian kulit. Biarkan 15 minit kemudian bilas dengan air. Gunakan syampu bagi menghilangkan kesan berminyak pada rambut.
• Timun mengandungi vitamin dan silika serta produk antioksidan yang membantu melegakan mata bengkak serta mengurangkan bulatan gelap pada mata. Potong timun kemudian letakkan pada mata selama 15 minit. Lakukan setiap malam sebelum tidur.
• Untuk kesegaran mata, ambil dua uncang teh yang sudah digunakan biarkan semalam dalam peti sejuk kemudian letakkan pada mata selama 15 minit. Anda dapat rasakan kesegaran ketika uncang teh dibiarkan pada mata.
• Ambil secalit madu kemudian sapukan pada bibir sehingga kering. Madu menjadikan bibir lebih lembut dan lembap selain mengelak bibir pecah.
• Sapukan minyak kelapa atau mentega pada bibir setiap kali anda merasakan bibir terlalu kering. Lemak dalam minyak kelapa membantu menyembuhkan kulit kering dan melembapkan. Mentega dan minyak kelapa juga membantu menyingkirkan warna bibir yang gelap.
• Limau bersama madu sangat berkesan mengubati bibir kering dan pecah. Campurkan perahan limau dan beberapa titis madu. Sapukan pada bibir yang kering dan pecah. Lakukan dua kali sehari untuk mendapatkan hasil terbaik.