Semua orang tahu bahawa kecantikan itu satu nilai yang tinggi. Seorang yang mahu memilih perhiasan rumah, pasti akan dicari yang cantik. Pakaian juga begitu, nilainya pada cantik. Makin cantik, makin tinggi harganya.
Dalam bab memilih pasangan, cantik memang dianggap sebagai nilai utama. Bahkan terdapat amalan dalam sesetengah masyarakat, semakin cantik si gadis maka semakin tinggi harga mahar dan hantarannya.
Tetapi awas.
Cantik pada nilaian seorang lelaki akan terus berubah apabila memasuki dunia perkahwinan. Dunia yang kerapkali menjadikan si cantik tidak menang dengan hanya bermodalkan cantik. Kerana itu perlu difahami dengan jelas, bahawa perkahwinan itu bukan hanya cerita dalam bilik tidur.
Bukan hanya pada kemanjaan, lemah gemalai, ketawa mengusik, berwangi-wangian, bersolek, berdandan dan sebagainya. Perkahwinan adalah suatu ranjau yang luas. Tidak mungkin ditempuh dengan seronok-seronok sahaja.
Maka si cantik yang hanya bermodalkan cantik, bakal tersepit apabila semakin lama menjadi ahli kepada dunia rumahtangga.
Kalau sebelum berkahwin, rengekan manjanya sudah cukup menjadikan si lelaki mengalah, selepas berkahwin mungkin tidak lagi. Kalau sebelum berkahwin, berlagak comel itu dilihat sebagai comel, selepas berkahwin ia mungkin lebih ditafsirkan sebagai mengada-ngada.
Jangan salah faham. Ia sama sekali bukan disebabkan oleh faktor bosan, jemu dan yang sewaktu dengannya.
Ia soal praktikal. Soal realiti. Soal tindakan, bukan teori.
Selepas berkahwin, cantik pada nilaian seorang lelaki bukan pada kecantikan fizikal atau luaran seorang isteri. Ini kes kita sambung lain hari yer.....................................