1. Mempunyai banyak duit atau harta adalah punca kepada segala masalah. Apakah benar dengan mempunyai duit atau harta yang banyak kita akan menjadi jahat? Rasanya apabila punya banyak duit atau harta, kita punya banyak kesempatan untuk berbuat kebaikan seperti menderma atau bersedekah, hidup lebih tenang bersama keluarga, tidak terkejar-kejar dengan masa, boleh bercuti bersama keluarga, boleh membayar atau selesaikan hutang, beli benda yang selama ini kita mahukan, dan sebagainya. Kita perlu tukar pepatah ini - duit atau harta ialah kunci kebahagiaan. Nabi Muhammad sendiri ada berkata bahawa kefakiran membawa kekufuran. Ia bermakna, ketiadaan harta itu sebenarnya mengundang kesusahan dan masalah yang banyak. Keluarga bahagia tanpa perpecahan, dan hidup dalam keadaan rukun dan damai.
2. Ketiadaan duit atau harta adalah punca kepada segala masalah. Apabila kita ketiadaan duit, ia sebenarnya mengundang lebih banyak kejahatan. Peningkatan jenayah yang berlaku sejak akhir-akhir ini adalah kerana mereka ingin mendapatkan duit dengan cara mudah dan cepat. Mereka merompak bank, melakukan kecurian di kedai emas, memeras ugut, memecah masuk rumah atau menculik bagi mendapatkan wang tebusan. Tujuan mereka ialah mahukan duit. Memang mereka melakukannnya kerana duit, tetapi puncanya ialah kerana mereka tiada sumber kewangan untuk membeli apa-apa yang mereka hajatkan. Mereka tidak dapat membeli bagi memenuhi kepuasan sendiri dan memenuhi kehendak hati. Oleh itu, melakukan jenayah adalah satu kerja yang mudah dan senang. Cuba lihat kes rompakan d sebuah bank tidak berapa lama dahulu. Perompak melarikan wang berjuta-juta dalam masa beberapa minit sahaja, dan turut menyebabkan beberapa pengawal keselamatan terbunuh.
Bila seseorang berkata duit tidak penting, ia seolah-olah meletakkan satu kenyataan bahawa duit itu adalah punca kejahatan. Tetapi tidak sedar bahawa duit sebenarnya kunci kebahagiaan. Duit memang bukan segala-galanya tetapi segala-galanya memerlukan duit. Kita perlu makan, membayar bil air, api dan telefon, membeli pakaian, bayar pinjaman kereta atau rumah, perbelanjaan perubatan, hiburan dan peruntukan kecemasan. Setiap kali melangkah keluar dari rumah, sama ada ke tempat kerja atau pun sekadar berjalan-jalan, ia semua mempunyai kos. Sama ada memandu atau menaiki kenderaan awam, semua menggunakan duit.
Apa yang perlu adalah kita tukar kenyataan itu. Kalau kita kata ‘duit amat penting bagi saya’ memberi makna yang lain kepada sesetengah orang, tukarkan ia kepada ‘duit bukanlah segala-galanya tetapi segala-galanya memerlukan duit.’ Ayat ini lebih menjelaskan tentang kepentingan duit, bukannya diri kita yang mementingkan duit.