Memang benar sebut saja pasal minyak wangi, kaum wanita yang akan jadi juara, malah siap boleh senaraikan lagi jenama-jenama yang terdapat di pasaran.
Adakah wanita saja yang ingin kelihatan cantik dan berbau wangi? Lelaki tidak boleh ke? Dikhabarkan kaum Adam kini lebih wangi daripada Hawa. Betul ke?
Malulah kalau perempuan berbau busuk. Kekasih hati pun boleh lari kalau malas sangat nak sembur minyak wangi!
Malah remaja kini ada yang tidak boleh hidup tanpa minyak wangi dan tidak mahu keluar rumah tanpa pewangi. Apakah punca mereka berkelakuan begini? Semuanya akibat penangan sebotol minyak wangi.
Sembur kalau sikit-sikit saja mungkin boleh diterima lagi, tetapi bagaimana pula cerita sembur satu badan. Kalau begini, belum cukup sebulan, habis minyak wangi mereka gunakan. Inilah yang digelar sebagai ‘gila minyak wangi’.
Ada ketikanya boleh bau sebatu keharuman pewangi mereka dan peliknya duduk di rumah pun ingin disembur ke seluruh badan. Memang mereka yang jenis ini kena simpan duit banyak untuk beli minyak wangi.
Tambahan pula minyak wangi kini bukannya murah, malah lebih mahal daripada sepasang baju, terutama kalau yang berjenama mahal dari luar negara.
Ada beberapa sebab pemakaian minyak wangi ini, antaranya bau badan yang melampau. Apabila bau badan, mereka akan cenderung berasa rendah diri dan untuk mengelak keadaan itu, mereka akan menggunakan pewangi untuk selesaikan bau badan dan mula menyimpan minyak wangi untuk kegunaan harian mereka.
Masyarakat kita sendiri apabila bau saja badan orang lain yang berbau busuk, akan segera menutup lubang hidung. Pernahkah anda terfikir perasan mereka yang berbau badan ini?
Kita pasti akan tegur andai kawan kita berbau wangi. Namun orang tua-tua kata, kalau bau wangi di tempat yang sunyi dan gelap jangan ditegur, itu dikatakan ada makhluk ghaib berkeliaran, nak sedap hati tegur saja kawan di sebelah kenapa pakai minyak wangi satu badan? Tapi dalam hati, Tuhan saja yang tahu perasaan takut itu. Hehehe..
Remaja juga menjadikan minyak wangi sebagai bahan koleksi peribadi, bukan saja jenama minyak wangi kesukaan malah jenama yang lain. Tidak kurang juga yang menggunakan minyak wangi sebagai hantaran perkahwinan.
Kategori haruman:
Bunga-bungaan – Unsur bunga banyak berkait rapat dengan feminin dan elemen romantis.
Buah – Campuran ekstrak buah pilihan sesuai untuk membangkitkan unsur segar dan hangat.
Lautan – Elemen sintetik dan bau alam menjanjikan haruman tahan lebih lama.
Kehijauan – Unsur segar yang memberi inspirasi haruman alam semula jadi.
Oriental – Erotik dan seksi mengandungi bau-bauan seperti vanila, kasturi, rempah dan bunga-bungaan.
Tumbuhan kayu – Inspirasi unsur alam – haruman ini kaya dengan bau kulit kayu dan tumbuhan tropika.