Semburlah perfume sebanyak mana sekalipun ke tubuh anda, jika anda tidak pandai mengurus atur rumah dan memastikan rumah anda kemas, bersih dan tersusun setiap masa, maka pada suami, anda seolah tiada erti.
Kerana apa?
Kerana mereka menganggap isteri mereka sebagai teman, kawan dan orang yang sama-sama berperanan. Bukan model. Bukan ratu. Bukan permaisuri.
Tetapi anda mungkin beruntung jika takdirnya anda bersuamikan lelaki yang tahap sabarnya luar biasa. Mungkin pada satu tilikan, ia kelihatan seperti ‘kesabaran’ yang luar biasa. Tetapi pada tilikan yang lain, dia sebenarnya mungkin malas melayan sikap negatif anda, atau sentiasa mengalah walaupun tidak suka dengan perangai anda. Mungkin untuk jangka masa pendek, ia kelihatan ok. Tetapi untuk jangka masa panjang, perlu juga disedari bahawa pasangan anda itu manusia dan bukannya malaikat.
CANTIK
Saya bercakap tentang segelintir wanita yang suka menjadikan kecantikan mereka sebagai modal untuk bahagia. Maka saya katakan tidak.
Besar mana sangatlah nilai cantik itu dalam rumahtangga?
Malanglah kalau seorang gadis tidak kisah dengan kekemasan dirinya, kekemasan tempat tinggalnya, kemahiran membuat kerja rumahnya, kemalasan yang berakar umbi dalam dirinya dan segala perangai negatif yang lain, dengan beranggapan bahawa dia cantik, dan dia akan bahagia. Dia akan beroleh suami yang sayangkan dia dan tidak kisah dengan sikap negatif yang ada padanya.
Saya katakan bahawa wanita sedemikian adalah wanita yang malang.
Cuba anda lihat contoh. Seorang suami yang pulang dari kerja dalam kepenatan, dia bukan hanya mahukan senyuman anda di muka pintu, atau segelas air yang anda hulurkan. Dia mahukan anda memahami dirinya. Ada banyak cara lelaki minta difahami. Antaranya adalah dengan tidak menambahkan kepenatannya dengan soalan-soalan bodoh atau kerenah-kerenah yang menyakitkan hati.
Tetapi bayangkan, kalau seorang isteri yang hanya cantik tetapi tidak cerdik dan tidak matang. Suami pulang disambut dengan senyuman menawan, pakaian cantik dan wangi semerbak. Tetapi belumpun sempat suami duduk di sofa, mulutnya sudah berceloteh itu dan ini. Katakan sebelum suami pulang tadi, ada berita buruk yang diterima atau ada masalah yang berlaku. Masa itu juga lah semuanya diluahkan pada sang suami, yang masih terkial-kial menghilangkan penat.
Dalam situasi tersebut, pertengkaran mungkin terjadi. Waktu itu, dia tidak kisah pun walau anda secantik bidadari.
Situasi yang lain. Suami seorang yang aktif, suka berfikir, banyak idea dan gemar berhujah. Suami sukakan percambahan idea dan mahukan teman berfikir yang matang. Bagaimana jika isteri hanya cantik, tetapi setiap lontaran suami tidak bersambut? Suami bercakap tentang perancangan keluarga, isteri hanya mengangguk dan mengiyakan. Suami bercakap tentang strategi kewangan keluarga, isteri hanya mengikut dan mengiyakan.
Lama kelamaan, pertengkaran boleh berlaku. Dan waktu itu juga, cantik tiada makna.
MATANG
Percayalah, seorang suami memang mahukan yang cantik sebagai pasangan, tetapi hakikatnya dia LEBIH perlukan yang matang sebagai teman.
Maka pokoknya di sini bukanlah pada anda itu cantik atau tidak cantik. Apa yang lebih utama adalah pembentukan diri, sifat dan sikap anda dalam menuju ke alam rumahtangga. Buanglah sifat negatif yang anda dan berusahalah membentuk kematangan dalam diri.
Cuba belajar bertolak ansur dengan housemate atau roomate anda, kerana itu suatu latihan untuk anda bertolak ansur dengan pasangan anda nanti. Cuba belajar mengurus diri dengan teratur dan mengurus rumah atau bilik anda dengan konsisten, kerana itu juga suatu latihan untuk melengkapi kebahagiaan anda suatu hari nanti.
Belajar dan terus belajar. Jangan selesa dengan kecantikan dan paras rupa, sehingga anda bodoh sombong untuk belajar dan terus ego untuk berubah. Kelak, anda sukar untuk bahagia.
Justeru, artikel ini mengajak anda yang mungkin berada dalam situasi di atas, atau mengenali rakan-rakan yang sedang berada dalam kemelut di atas, supaya sama-sama kita sedar. Lebih-lebih lagi wanita, kebersihan diri dan tempat tinggal sebelum berkahwin perlu dititikberatkan.