PERTAMA: MENGANALISIS SITUASI KEWANGAN MASA KINI ANDA
Kita selalu mengatakan duit selalu tidak cukup. Pada penghujung bulan kita pasti akan bertanya, kemanakah wang saya telah dibelanjakan? Pada masa ini ramai akan menghadapi masalah untuk membayar hutang dan bil-bil. Maka sebelum merancang, adalah penting untuk mengetahui dengan jelas dari mana wang anda akan datang dan ke mana ia dibelanjakan. Penting untuk mengawasi dengan teliti perbelanjaan dan jangan lupa untuk merekodkan secara bertulis ke manakah anda menghabiskan wang anda
KEDUA: MENYEDIAKAN MATLAMAT JANGKA PENDEK DAN PANJANG ANDA
Ramai daripada kita gagal untuk menetapkan matlamat jangka pendek dan matlamat jangka panjang kewangan peribadi. Membuat matlamat jangka pendek dan panjang dapat menjadi panduan untuk kita berbelanja dengan berhemah. Kita perlu menyatakan dengan jelas serta spesifik matlamat dan keutamaan kita. Proses ini memerlukan kita berfikir secara mendalam tentang apakah yang menjadi perkara penting untuk dicapai dalam kehidupan. Dengan mempunyai sokongan kewangan yang baik maka agak senang untuk kita menjalankan apa yang telah kita rancang dalam kehidupan.
KETIGA: MENGENALPASTI DAN MENILAI STRATEGI UNTUK MENCAPAI MATLAMAT ANDA
Mempunyai matlamat sahaja adalah tidak mencukupi. Bagi mencapai matlamat jangka panjang atau pendek, anda perlu mengurangkan perbelanjaan dan meningkatkan tabungan. Untuk mencapai matlamat anda, anda harus mengenal pasti pelbagai strategi tersebut dengan membandingkan manfaat dan kos setiap alternatif. Dengan itu, anda akan memilih strategi yang paling cekap dan berkesan.
KEEMPAT: MELAKSANAKAN STRATEGI YANG ANDA PILIH UNTUK MENCAPAI MATLAMAT
Melaksanakan stategi yang telah dibuat adalah proses yang amat penting untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Strategi anda mesti dibahagikan kepada tindakan-tindakan yang konkrit seperti memperuntukkan 10% daripada pendapatan untuk tabungan untuk tujuan menghadapi kecemasan, peruntukan untuk membel produk yang mahal seperti pendidikan anak dan persaraan. Perkara yang penting adalah kita mesti berusaha untuk melaksanakan strategi tersebut.
KELIMA: MENILAI DAN MEMBAIKI PERANCANGAN ANDA DARI SEMASA KE SEMASA
Perubahan dalam kehidupan kita pasti akan berlaku. Banyak perubahan berlaku sepanjang hayat anda. Perubahan yang boleh dijangkakan seperti hasrat bertukar kereta atau berkahwin dan juga perubahan yang tidak dapat dijangkakan seperti masalah kesihatan atau kemalangan. Perubahan luaran juga berlaku seperti kehilangan pekerjaan disebabkan kemasukan tenaga pekerja asing, kenaikan kadar bunga penjaman perumahan atau kenaikan harga barangan yang tidak dijangkakan.
Oleh itu, kita mesti mengambil kira perubahan-perubahan ini dan menyesuaikan perancangan perancangan kewangan untuk menangani keadaan baru ini. Perubahan ini mungkin merupakan ancaman atau peluang bagi anda untuk bertindak dengan segera untuk menghadapi perubahan tersebut.